Atasi isu sosial

Berslogankan inspirasi anda, masa depan mereka. Kongsi idea anda untuk kebajikan masyarakat, Agensi Inovasi Malaysia (AIM) menjemput orang ramai menyertai Cabaran Inovasi Impak Sosial ‘Berbudi Berganda’ dengan memberi cadangan penyelesaian yang inovatif untuk isu-isu sosial seperti pengangguran belia, gelandangan dan penjagaan warga emas.

Cabaran itu menyediakan dana dan pakej latihan bernilai RM500,000 kepada 12 pemenang dan penyertaan itu yang sepatutnya berakhir 31 Oktober ini dilanjutkan sehingga 15 November 2014.

Menerusi projek itu, organisasi sosial perlu membekalkan kemahiran agar mereka boleh memberikan perkhidmatan terbaik.

Projek itu dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana, Datuk Mah Siew Keong, baru-baru ini.

Daripada penyertaan yang diterima, hanya 12 organisasi yang menunjukkan kemampuan luar biasa yang berpeluang memenangi anugerah kapasiti bangunan inkubasi.

Siew Keong, berkata organisasi yang terpilih akan dibimbing merangka kerja sosial dan mekanisme yang diperlukan bagi mengukur keberkesanan usaha mereka.

“Mereka perlu keluar daripada zon selesa untuk mencari jalan penyelesaian berkesan dengan setiap organisasi diberi modal RM25,000 supaya mereka dapat melaksanakan idea dan protaip kerja sosial.

“Aktiviti ini akan dipantau keberkesanannya sebelum cabaran berakhir pada Mac tahun depan dan organisasi sosial yang mempunyai impak paling tinggi akan memenangi dana RM30,000,” katanya.

AIM mengadakan bengkel ‘Focus Group Discussion’ atau FGD selama tiga hari dengan menjemput beberapa wakil organisasi sosial bagi memahami keperluan mereka dan cabaran yang dihadapi.

Radziah Mohd Radzi daripada Women Enterprenueur Network Association (WENA) berkata, pemilihannya dalam FGD amat berguna bagi merangka gerak kerja sosial lebih berkesan kepada golongan sasaran.

“Kami mahu mewujudkan usahawan di kalangan pelajar sekolah seawal tingkatan empat dan lima sebagai persediaan berhadapan cabaran dunia pekerjaan sebenar,” katanya.

Menyentuh usaha AIM memperkenalkan Cabaran Berbudi Berganda itu, katanya ia adalah projek terbaik menyediakan platfom terbaik kepada organisasi sosial mendapat idea, input dan pengurusan lebih efektif.

Gillian Valerie Chong Tae Yew daripada Agape Vision dan Haja Ahmad Dawood (Mother & Child Saving Society) mengakui golongan muda perlu dipupuk dengan nilai murni, jati diri dan ilmu terutama penguasaan bahasa Inggeris bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat lebih tinggi.

“Masih ramai pelajar gagal menentukan profesion selepas tamat persekolahan, justeru kami memperkenalkan sektor pertanian kepada lepasan sekolah.

“Saya menyertai cabaran Berbudi Berganda bagi membantu generasi muda mencapai impian mereka,” katanya.

Jonathan Woo dari Malaysian Care menyifatkan golongan belia adalah nadi negara justeru dia bersama kumpulannya berusaha menyelamatkan bekas banduan remaja untuk memulakan hidup baru.

“Kami bekerjasama dengan Penjara Kajang membimbing bekas banduan remaja mencari pekerjaan dan kehidupan kerana ada keluarga enggan menerima mereka,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Berbudi Berganda sila pergi ke www.ureka.my/challenge/berbudi

Source: Harian Metro